Paa zaman dahulu terdapat seorang raja yang memerintah dengan adil. Rakyat di dalam negeri dan negeri-negeri jajahannya hidup dalam keadaan aman lg makmur. Rahsia di sebalik semua ini adalah keran raja mempunyai seorang bendahara yang merupakan penasihat yang baik. Apa yang istimewa pada bendahara ini adalah, setiap kali menyelesaikan masalah rakyat dia akan berpesan bahawa segala sesuatu itu mengandungi hikmah yang tersembunyi. Perkara ini dimaklumi oleh mereka yang bekerja rapat dengannya.
Pada suatu hari raja bermain pedang dengan adindanya. Dalam perlawanan itu adinda raja menghayun pedang dan mengenai betis raja sehingga mengakibat luka yang sangat dalam, darah mengalir membasahi ruang. Raja diusung pergi dan dirawat dengan sebaiknya. Raja berasa gusar akan niat yang terpendam dalam diri adindanya. Bagi merungkai persoalan ini raja telah memanggil bendahara untuk menghadap.
"Beta rasa curiga dengan adinda beta", titah raja menyuarakan apa yang sedang terbuku di hatinya.
"Peristiwa beradu pedang tempoh hari benar-benar mendedahkan apa yang tersembunyi di hatinya". Titah raja menyambung, sedang bendahar meneliti setiap bicara raja berhati-hati.
"Apa pandangan bendahara?" Tanya raja, meminta pandangan.
"Menurut pandangan patik perkara ini perlu kepada penelitian yang mendalam agar kita tidak tersilap membuat hukuman, nanti buruk padahnya". Ujar bendahara memberikan pandangan.
"Bagaimana mungkin dia begitu berani melukakan betis beta?" tingkah raja dengan suara meninggi, tidak berpuas hati dengan pandangan bendahara.
"Mengenai luka itu, menurut pandangan patik, ada hikmah yang tersembunyi wahai tuanku". Balas bendahara cuba memisahkan antara kisah luka dengan tuduhan berat tadi.
Raja mula murka dengan jawapan tersebut.
"Baiklah hari ini beta akan lempar bendahara ke dalam penjara, sekarang apa jawapan bendahara?" Titah raja menunju kuasa mutlaknya.
"Sekiranya itu keputusan tuanku dan patik terpaksa menerimanya, pasti ada hikmahnya." Ujar bendahara merendahkan suara di hadapan kemurkaan raja.
"Baiklah jika itu jawapan bendahara, beta perintahkan agar bendahara dipenjarakan." Perintah raja membuat keputusan muktamad.
Pengawal istana membawa bendahara pergi dan dia ditahan di penjara.
Selepas beberapa bulan, luka raja telah sembuh. Raja membawa sebilangan pengawalnya memburu di hutan belantara. Pada kali ini raja tidak dapat membawa bendahara yang masih di dalam penjara. Oleh sebab terlalu asyik berburu raja terpisah dari kumpulan pengawalnya.
Hari telah larut senja, raja tersesat di dalam hutan seorang diri.
Dalam kegelapan hutan itu tiba-tiba di celah-celah semak samun itu keluar beberapa orang dengan wajah garang lantas menangkap raja. Raja ditahan di dalam kurungan menunggu saat yang tak pasti.
Apabla tiba waktunya, raja diheret ke kawasan lapang. Kaum itu telah berkumpul sambil menyanyi-nyanyi lagu pemujaan dengan suara nyaring. Tubuh raja ditambatkan ke satu tiang besar di tengah-tengah bulatan. Terdapat tengkorak manusia bersepah-sepah di serata tempat. Rupa-rupanya raja bakal dikorbankan untuk satu upacara pemujaan kaum tersebut.
Tukang sembelih datang dengan wajah bengis dan di tangannya pedang terhunus. Raja sedar bahawa dirinya sudah tidak punya peluang untuk melepaskan diri lagi.
Sejurus kemudian tampil pula ketua pemujaan untuk membuat pemeriksaan akhir bagi memastikan upacara pengorbanan berjalan lancar. Mulutnya kumat-kamit membacakan mentera sambil berjalan mengelilingi raja, matanya menatap setiap inci tubuh raja.
Tiba-tiba dia berhenti. Jelas kellihatan pada wajahnya riak kekecewaan. Dia kemudiaannya memanggil hulubalang dan setelah berbisik-bisik maka ikatan yang membelenggu raja diungkai.
"Kamu tidak boleh dikorbankan kerana pada dirimu terdapat parut luka yang sangat hodoh. Ini tidak memenuhi syarat upacara korban kami." Jelas ketua pemujaan sambil menunjuk kesan parut hodoh pada betis raja.
"Kamu dibebaskan tetapi sekiranya kami masih menjumpai kamu selepas ini kami akan meneruskan upacara ini." Kata ketua pemujaan sambil memberi isyarat agar raja dilepaskan.
Alangkah gembiranya raja, nyawa seperti pulang kembali ke ubun-ubunnya.
"Apa? Parut ini menyelamatkan nyawa aku?" Getus raja dalam hati, dia seperti tidak mempercayainya. Tanpa berlengah raja mengatur langkah seribu, lari sederasnya keluar sehingga akhirnya berjaya menemui jalan dan kembali ke istana.
Raja tidak ke istana sebaliknya terus ke penjara menemui bendahara.
"Benar apa katamu wahai benahara yang bijaksana, di sebalik luka beta ini rupanya mengandungi hikmah besar." Titah raja sambil memeluk bendahara kegembiraan.
"Tahukah kamu.. Dengan sebab luka inilah beta masih hidup sekarang." Ujar raja memberi penjelasan dan menceritakan setiap detik cemas sewaktu ditangkap sehinggalah berjaya keluar dari tahanan maut itu. Bendahara dan raja sama-sama mengucap syukur kepada Ilahi.
"Wahai bendahara, luka beta ada hikmahnya. Apa pula hikmahnya bendahara yang teraniaya sehingga dipenjara?" Tanya raja bergumpal rasa bersalah.
"Wahai tuanku, memanglah patik rasa teraniaya tetapi cuba bayangkan sekiranya patik tidak dipenjara. Tentu sekali kita akan memburu bersama-sama. Kita berdua akan tertangkap bersama untuk acara korban tersebut." Jelas bendahara.
"Apa akan berlaku apabila mereka membuat pemeriksaan akhir. Tuanku semestinya akan dibebaskan kerana parut yang ada pada betis tuanku, sebaliknya patik pula pasti akan terus ditahan dan dibunuh kerana tidak ada kesan parut dan cacat cela pada tubuh patik. Benar, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya." Jelas bendahara panjang lebar dengan nafas kesyukuran. Raja bertepuk tangan kegembiraan, faham apa yang terjadi dalam riak perjalanan hidup mengandungi hikmah tersendiri.
* * * * *
"Ada yang kamu tidak sukai sedangkan perkara itu baik untukmu,
ada pula yang kamu sukai tetapi ia sebenarnya buruk untukmu."
* * * * *
-Taken from "U-TURN KE JALAN LURUS, Zul Ramli M. Razali, Galeri Ilmu Sdn. Bhd.